General News

Bekas Pekerja Syarikat Firma Pengurusan Perniagaan Didakwa Kerana Memberi Maklumat Palsu Melalui Perkhidmatan e-Lodgement SSM

 
 
Picture of SSM Admin
Bekas Pekerja Syarikat Firma Pengurusan Perniagaan Didakwa Kerana Memberi Maklumat Palsu Melalui Perkhidmatan e-Lodgement SSM
by SSM Admin - Thursday, 15 November 2018, 10:44 PM
 

Khamis, 1 November 2018 - Seorang bekas pekerja syarikat firma pengurusan perniagaan, Koh Yap Wei (OKS), telah didakwa dengan kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956) kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar berkait dengan pendaftaran perniagaan Ace Sports Express Services (002148349-D). 

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS telah memberi maklumat palsu berhubung pendaftaran pemilik perniagaan tersebut iaitu Cheong Sye Kiet melalui Borang A (borang Pendaftaran Perniagaan) yang mana transaksi pendaftaran telah dibuat menggunakan perkhidmatan atas talian e-lodgement SSM. 

OKS telah dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 4 Seremban, Negeri Sembilan, Puan Maimoonah binti Aid dan OKS telah membuat pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan yang dikenakan terhadap OKS. 

Kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) APP 1956 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan 

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, pendakwaan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Encik Muhammad Afif Abdullah dan dibantu Pegawai Penyiasat, Puan Salwani Zakaria. 

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
 Bertarikh: 1 November 2018

Date11/1/2018 
CategoryNews
Year2018
MetadataPress Release
Date Published01/11/2018
Created at 11/1/2018 5:36 PM  by System Account
Last modified at 11/1/2018 5:37 PM  by System Account